Isu semasa

CFM Perkasakan Pengguna dan Utamakan Hak Penggunaan dalam Perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia di Kuala Terengganu Kuala Terengganu, Terengganu – Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah bersama-sama menganjurkan seminar kepenggunaan di Pusat Dagangan Terengganu, hari ini. Seminar ini adalah sebahagian daripada inisiatif pihak penganjur untuk mendidik peserta seminar akan isu-isu semasa yang sedang dihadapai oleh pengguna dan penyedia perkhidmatan komunikasi. Ia juga menjelaskan peranan yang dilaksanakan oleh CFM and SKMM untuk melindungi hak-hak pengguna. Seminar 4 hari ini akan disertai oleh Penyedia Perkhidmatan Komunikasi, Penyedia Siaran Televisyen, pengguna, pelajar sekolah, pelajar IPTA, kumpulan berkepentingan, pemimpin masyarakat dan orang ramai dari sekitar Kuala Terengganu. Kemuncak acara didalam seminar ini adalah perbincangan bersama kumpulan panel dan wakil Penyedia Perkhidmatan yang akan menjawab persoalan daripada peserta. Encik Muhamad Tahir Muhamad Noor, Pengarah Eksekutif CFM menjelaskan bahawa forum ini akan dijadikan medium untuk perbincangan berkaitan masalah yang memberi impak atau kesan kepada mutu perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Ia akan memainkan peranan sebagai pengantara untuk mencari jalan penyelesaian dan mencadangkan tindakan yang sesuai untuk diambil. “Matlamat utama kami adalah untuk meningkatkan pengetahuan pengguna berkaitan isu-isu semasa melibatkan mutu perkhidmatan komunikasi dan multimedia. Kami juga mahu membantu mereka untuk mencari penyelesaian kepada permasalahaan perkhidmatan komunikasi supaya pengguna mendapat mutu perkhidmatan yang lebih baik. Kami berharap dengan menambahkan pengetahuan dan memberi kesedaran kepada orang ramai, ia akan memperkasakan pengguna. Pada masa yang sama, maklumbalas yang kami terima dapat membantu Penyedia Perkhidmatan untuk mencari formula penyelesaian kepada masalah yang telah diutarakan.” ujar Encik Tahir lagi. Antara isu yang telah diketengahkan adalah kesalahan jenayah melibatkan media sosial, penipuan SMS, isu-isu bil, isu harga, kecurian identiti dan pengiklanan SMS samar-samar. Tentang  CFM Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia (CFM) adalah sebuah organisasi yang telah ditubuhkan dibawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia sebagai Forum Pengguna seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Objektif utama penubuhannya adalah untuk menjana Kod Industri sebagai panduan bagi melaksanakan mutu perkhidmatan yang terbaik untuk Penyedia Perkhidmatan. CFM berperanan sebagai pusat menerima aduan berhubung perkhidmatan Komunikasi dan Multimedia. Ia juga ditugaskan untuk menjana Kod-Kod Industri bagi melindungi hak-hak kepenggunaan, mencadangkan proses penyelesaian atau apa jua tindakan yang wajar sekiranya berlaku percanggahan atau kegagalan mematuhi Kod Pengguna. CFM juga berazam untuk mendukung dan menjadi pemangkin kepada penyampaian mutu perkhidmatan yang tinggi, amalan yang beretika serta prestasi yang terbaik di dalam industri Komunikasi dan Multimedia supaya sentiasa mendapat keyakinan pengguna.

No comments:

Post a Comment